Mata wang rosak boleh ditukar

Mata wang rosak boleh ditukar

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jun – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) melalui Unit Pengurusan Mata Wang, Kilang Wang, Reka bentuk Mata wang dan Galeri memaklumkan bahawa mata wang yang rosak boleh ditukar terus ke bank, tertakluk kepada keadaan mata wang berkenan.

AMBD dalam satu kenyataan hari ini berkata, mata wang dianggap rosak apabila ia koyak, terdedah kepada haba, diconteng, terdapat kesan kotoran atau mempunyai warna yang pudar. Orang ramai bagaimanapun dinasihatkan untuk tidak membuang mata wang tersebut kerana berkemungkinan besar ia masih lagi mempunyai nilai.

Penukaran juga boleh dibuat dengan berhubung terus dengan AMBD. Wang kertas dan polimer Negara Brunei Darussalam yang rosak akan diproses bagi ditentukan nilai mata wang tersebut dan dibayar balik, tertakluk kepada Seksyen 19, Perintah Mata wang 2004.

Bagi memelihara jangka hayat mata wang dan nilainya, langkah-langkah yang perlu diambil adalah tidak mengokot (staple) walau dalam apa pun keadaan, jangan ditanda, digosok atau diconteng, ditulis atau dicap menggunakan pengecap, dikoyak atau dikedutkan, jauhkan daripada kelembapan dan kebakaran serta jangan dilipat semasa menyimpan.

Bagi pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai wang kertas dan polimer Negara Brunei Darussalam, bolehlah menghubungi AMBD di talian 2382186 atau e-mel cmmcdg@ambd.gov.bn

 

ARTIKEL YANG SAMA