Mathieu Flamini wira Gunners

Mathieu Flamini wira Gunners

LONDON, 25 Sept (AFP) – Pengurus Arsenal Arsene Wenger memuji kesungguhan Mathieu Flamini mendapatkan tempatnya kembali dalam pasukan selepas dua jaringan pemain tengah Perancis itu memastikan Arsenal menang 2-1 ke atas musuh ketat mereka Tottenham.

Flamini muncul wira tidak dijangka di White Hart Lane apabila menjaringkan dua gol pertamanya sejak Mac dalam penampilan pertamanya musim ini, melayakkan mereka ke pusingan keempat berdepan pasukan divisyen kedua, Sheffield Wednesday.

Pemain berusia 31 tahun itu yang hampir meninggalkan Arsenal pada musim perpindahan baru-baru ini, menghukum kesilapan penjaga gol Tottenham Michel Vorm untuk membuka gol dari jarak dekat pada separuh masa pertama pusingan ketiga yang berlangsung sengit.

Flamini kemudiannya mencuri perhatian dengan meledak voli kencang pada minit ke-78 selepas Tottenham menyamakan kedudukan menerusi jaringan Calum Chambers ke gawang sendiri.

Wenger mendedahkan beliau memberitahu Flamini dia boleh meninggalkan kelab sebelum awal musim ini tetapi kagum dengan sikap pemain veteran itu yang masih bertahan dan berjuang merebut tempatnya dalam pasukan.

“Anda tidak jangka Mathieu Flamini untuk menjaringkan dua gol namun dia sudah lama kecewa dan terus berjuang. Dia menjaringkan dua gol yang cantik,” kata Wenger.

“Kebelakangan ini dia bekerja keras. Dia sungguh fokus dan saya mahu dia memperkuatkan bahagian tengah bertahan.

“Dia seorang pejuang dan juga pemenang. Saya memberitahunya pada awal musim sukar untuk menyertai kesebelasan utama namun dia memutuskan untuk terus bersama kelab dan berjuang.”