Mati lemas kerana selfie

Mati lemas kerana selfie

PESHAWAR, Pakistan, 16 Ogos – Seorang budak perempuan berusia 11 tahun mati lemas hari ini selepas terjatuh ke dalam sungai di utara Pakistan ketika cuba untuk mengambil gambar selfie dan ibu bapanya juga terbunuh ketika cuba untuk menyelamatkannya, kata para pegawai.

Kejadian lemas itu berlaku di sungai Kunhar yang mengalir ke wilayah Khyber Pakhtunkhwa, di sebuah pusat pelancongan berbukit-bukit di kampung Beesian, kira-kira 200km utara Islamabad.

Sungai mengalir deras, berbatu dan dalam itu sangat popular bagi aktiviti berakit.

“Budak perempuan itu, Safia Atif, cuba untuk mengambil selfie di sepanjang sungai itu apabila dia tergelincir dan jatuh,” kata pegawai polis tempatan, Arshad Khan kepada AFP, menjelaskan insiden itu disaksikan oleh pelancong lain.

Ibu Safia, Shazia Atif kemudian melompat untuk menyelamatkan anak perempuannya namun juga telah dihanyutkan.

“Melihat kedua-dua isteri dan anak perempuannya lemas, ayahnya Atif Hussain juga melompat ke sungai untuk menyelamatkan mereka bagaimanapun dia berdepan nasib yang sama,” tambah Khan.

“Mayat ibu dan anak telah ditemui sementara itu kami masih lagi mencari mayat Hussain,” tambahnya lagi.

Katanya lagi, ibu bapanya merupakan doktor dari wilayah Punjab dan telah membawa keluarga mereka ke kawasan itu untuk bercuti.

Manakala itu, dua anaknya lain, seorang perempuan berusia sembilan tahun dan lelaki berusia enam tahun yang menyaksikan insiden tersebut, selamat.

“Kedua-dua mereka di bawah jagaan pentadbiran tempatan dan mereka akan diserahkan kepada anggota keluarga mereka apabila mereka tiba,” katanya. – AFP