MATRADE akan ketuai misi pemasaran khas ke London

MATRADE akan ketuai misi pemasaran khas ke London

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan mengetuai delegasi 15 syarikat Malaysia yang terlibat dalam perkhidmatan pembinaan, bahan binaan serta teknologi maklumat dan komunikasi dalam misi pemasaran khas ke London pada 7 hingga 11 Mac 2016.

Dalam satu kenyataan hari ini, MATRADE berkata, misi itu diadakan sempena Ecobuild di Excel London, satu pameran dan persidangan untuk pasaran pembinaan dan tenaga terkemuka, sebagai usaha mempromosi kebolehan Malaysia dalam sektor berkenaan.

“Semua syarikat itu antara lain terbabit dalam kerja-kerja kejuruteraan awam, seni bina, seni reka dalaman, produk kayu, diod pancaran cahaya cekap tenaga, perkhidmatan perundingan perkakasan dan perisian, infrastruktur Internet serta perkhidmatan e-dagang berasaskan lokasi,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Dzulkifli Mahmud berkata, inisiatif ini akan menonjolkan Malaysia sebagai penyedia penyelesaian untuk pasaran UK, terutama dalam projek pembinaan untuk projek bandar raya pintar di seberang laut.

“Sebanyak 100 perjumpaan perniagaan empat mata dengan 50 bakal pengimport dari UK telah diatur oleh pejabat MATRADE di London untuk peserta dari Malaysia itu,” katanya.

Dzulkifli berkata, misi ini akan memberi peluang kepada MATRADE meneroka dan memanfaatkan peluang untuk syarikat Malaysia dalam perkhidmatan pembinaan, bahan binaan dan ICT di UK.

“Ia akan menjadi platform yang baik untuk peserta Malaysia mencari ejen, pengedar dan pengimport berpotensi baharu,” katanya.

Ecobuild akan mengumpul 85 peratus daripada 100 arkitek terkemuka, 92 peratus daripada 50 kontraktor serta pembina rumah terkenal dan 57 peratus daripada 30 pengimport asing teratas.

ARTIKEL YANG SAMA