MATRADE anjur forum perniagaan untuk diaspora India

MATRADE anjur forum perniagaan untuk diaspora India

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) hari ini menganjurkan forum perniagaan untuk diaspora India dalam usaha mempromosi Malaysia sebagai rakan kongsi perdagangan dan pelaburan.

Ia dihadiri lebih 400 peserta yang terdiri daripada pengusaha industri dan pelabur terkenal antarabangsa daripada sektor tekstil, pelancongan, pertanian dan teknologi maklumat, kata MATRADE dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Forum itu diadakan sempena Sambutan Jubli Intan dan Konvensyen Kongu Antarabangsa anjuran Persatuan Kebajikan Namakkal Malaysia di Stadium Putra di Bukit Jalil semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Dzulkifli Mahmud berkata, forum itu bertujuan mempromosi keupayaan Malaysia dalam pelbagai sektor kepada komuniti perniagaan India yang berkumpul di sini untuk Konvensyen Kongu Antarabangsa.

“Ia menawarkan platform yang baik untuk MATRADE dan MIDA di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi mempromosi peluang perdagangan dan pelaburan Malaysia kepada usahawan industri antarabangsa dalam sektor yang disasarkan,” tambahnya.

Selain itu, terdapat sesi perangkaian perniagaan di antara ahli perniagaan asing dan syarikat Malaysia.

“Ini adalah inisiatif berkesan untuk mempromosi Malaysia dan kami berharap program seperti ini akan menghasilkan lebih banyak peluang bagi mengembangkan eksport dan meningkatkan pelaburan,” kata Dzulkifli.

Sambutan Jubli Intan dan Konvensyen Kongu Antarabangsa bertema, “Kesedaran Kebudayaan (Panbaadu Kaappom itu telah menarik 15,000 anggota masyarakat Kongu daripada beberapa negara termasuk India, Sri Lanka, Amerika Syarikat, Kanada, Jerman, Afrika Selatan dan Singapura. – Bernama