Matrade mahu ambil manfaat sebanyak mungkin daripada TPPA

Matrade mahu ambil manfaat sebanyak mungkin daripada TPPA

KUALA LUMPUR, 9 Feb – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bersedia untuk lebih agresif meraih manfaat daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), terutama di pasaran yang belum ada perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Malaysia.

Untuk itu, agensi promosi perdagangan negara ini telah menggubal strategi termasuk bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pembeli berpotensi tentang produk dan perkhidmatan Malaysia, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dzulkifli Mahmud.

“Kami memang berusaha dengan agresif selama ini, namun kini kami akan lebih agresif. Sebenarnya Malaysia memiliki semua keupayaan (untuk memasarkan barangan dan perkhidmatannya). Kami akan memperhebat usaha untuk membawa masuk lebih banyak pembeli dari seberang laut, terutama dari negara seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico,” katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Antara produk yang berpotensi ke pasaran berkenaan ialah tekstil, fesyen mewah, alat ganti dan komponen automotif, produk berasaskan elektrik dan elektronik serta produk berasaskan getah.

Dzulkifli berkata Matrade akan meneruskan pelbagai inisiatifnya bagi mempersiap pengeksport, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS), agar mereka lebih bersedia dan berdaya saing untuk pasaran TPPA.

Beliau juga berkata Matrade bekerjasama dengan agensi seperti SME Bank, Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank), SME Corporation Malaysia dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) bagi membantu pengeksport dari segi sokongan kewangan serta mengurangkan risiko berpotensi.

Pada 4 Feb lalu, Malaysia dan 11 negara lagi iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam menandatangani TPPA yang akan memperluas pasaran, mengurangkan tarif dan menggalakkan perdagangan yang lebih bebas.

TPPA merangkumi hampir 40 peratus daripada keluaran dalam negara kasar global bernilai AS$30 trilion (RM126 trilion).

Dzulkifli memuji pemeteraian TPPA memandangkan ia menunjukkan komitmen kerajaan untuk memperluas pasarannya yang memberi manfaat kepada PKS, terutama pengeksport. – Bernama