Matrade salur RM2.78j geran MDG

Matrade salur RM2.78j geran MDG

KUCHING, 13 Jan (Bernama) – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menyalurkan peruntukan berjumlah RM2.78 juta menerusi Geran Pembangunan Pasaran (MDG) kepada 92 usahawan Sarawak bagi meluaskan perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa.

Pengarah Matrade Sarawak Leany Mokhtar berkata peruntukan tersebut disalurkan sejak 2002 sehingga 4 Jan 2016.

“Setakat bulan ini (Januari 2016) sejumlah 318 syarikat pelbagai sektor telah berdaftar dengan Matrade. Penglibatan usahawan Sarawak buat masa sekarang memuaskan, namun saya rasa kita boleh capai lebih baik lagi.

“Sebab itu, kita (Matrade) masih lagi pergi ke bandar serta pedalaman di negeri ini untuk meyakinkan usahawan supaya mengetengahkan produk mereka,” katanya pada taklimat media mengenai Program Kerja 2016 agensi itu, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Leany berkata usahawan di Sarawak yang telah mendaftar digesa merebut peluang yang disediakan selain lebih aktif dalam usaha membawa produk mereka menembusi pasaran antarabangsa.

“Antara kisah kejayaan Matrade Sarawak ialah membantu syarikat pengeluar bateri automotif, Amalgamated Batteries Manufacturing (Sarawak) Sdn Bhd, sehingga berjaya mengeksport produk mereka bernilai RM58 juta ke Timur Tengah.

“Selain itu Matrade juga berjaya membantu East Asia Palm Product mengeksport produk mereka ke pasaran antarabangsa dengan nilai jualan mencecah RM50 juta,” katanya.

Beliau berkata Matrade akan mengambil bahagian dalam 150 program tahun ini bagi meningkatkan eksport.

Menurut Leany Matrade menyediakan Program Kerja 2016 berdasarkan orientasi strategik, termasuk untuk meningkatkan tindak balas terhadap pasaran yang dinamik dengan kerjasama industri.

Justeru, berdasarkan pelbagai peluang yang ditawarkan Matrade, Leany berharap usahawan yang sudah mendaftar perlu lebih aktif meneroka pasaran luar negara untuk memasarkan produk mereka.

ARTIKEL YANG SAMA