Matrade tandatangan MoU dengan ICBC, Port Qinzhou

Matrade tandatangan MoU dengan ICBC, Port Qinzhou

NANNING, China, 12 Sept – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) hari ini menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Bank Komersial dan Industri China (ICBC) dan Pelabuhan Perdagangan Bebas Guangxi Qinzhou bagi melicinkan aliran perdagangan produk syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia ke China.

Menurut Pengarah Matrade bagi Unit China, Ong Yew Chee, MoU tersebut bakal membantu memperluaskan peluang-peluang PKS untuk mengeksport produk mereka ke republik tersebut.

“Kita juga akan menubuhkan platform perdagangan China-ASEAN, dan Matrade akan mengenal pasti syarikat PKS yang layak untuk memasuki platform tersebut.

“Ini merupakan antara strategi yang dibentuk oleh Majlis Eksport Malaysia, ICBC Bank dan Pelabuhan Perdagangan Bebas Guangxi Qinzhou, bagi membantu PKS dari Malaysia dan anggota ASEAN lain untuk mengeksport produk barangan mereka ke China yang mempunyai pasaran 1.3 bilion penduduk.

“Pengurusan Pelabuhan Qinzhou akan menyediakan kemudahan logistik, pelepasan dan pendaftaran produk, manakala ICBC akan menyediakan bantuan kewangan kepada syarikat tersebut melalui platform dalam talian yang dipanggil ICBI Mall,” katanya.

Ong turut mengajak PKS Malaysia untuk mengaplikasikan platform tersebut memandangkan ICBC Mall mempunyai 30 juta pengguna, yang menyamai jumlah penduduk Malaysia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II Datuk Seri Ong Ka Chuan ketika merasmikan Pavilion Malaysia pada Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-13 di sini kelmarin, berkata Kerajaan Malaysia mahu menjadikan Qinzhou sebagai hab dagangan Malaysia di China. – Bernama