MATRADE yakin INSP mampu jana jualan sehingga RM500 juta

MATRADE yakin INSP mampu jana jualan sehingga RM500 juta

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) – Pihak Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yakin Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) selama dua hari yang berakhir hari ini, mampu menjana jualan antara RM480 juta dan RM500 juta.

Sasaran itu lebih tinggi daripada sejumlah RM443.2 juta yang diraih di INSP tahun lepas dan rasa optimis itu berikutan minat tinggi terhadap produk halal Malaysia, kata Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Strategik MATRADE, Wan Latiff Wan Musa.

“Malah, minat berterusan daripada kalangan pembeli China turut melonjakkan lagi momentum berkenaan,” katanya kepada pemberita di luar acara INSP di sini, hari ini.

INSP diadakan bersempena acara Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2016 (MIHAS 2016) mulai esok sehingga 2 April ini.

Selain berperanan sebagai platform cekap kos bagi syarikat Malaysia saling berhubung dengan pembeli antarabangsa, acara itu turut memberi kesempatan untuk mereka bertemu dan membincangkan peluang menerusi beberapa mesyuarat perniagaan atau secara bersemuka yang diselaraskan pihak MATRADE.

Mengulas lanjut, Wan Latiff berkata peningkatan minat terhadap produk halal Malaysia itu jelas terbukti menerusi bilangan penyertaan pembeli dari luar negara iaitu seramai 391 orang berbanding 307 orang pada tahun lepas.

Beliau menyifatkan perkembangan itu dicetuskan oleh kesedaran yang kian ketara dalam kalangan negara bukan Islam seperti China, Jepun dan Korea.

“Tahun ini, kita menerima jumlah penyertaan terbesar dari China iaitu sebanyak 130 syarikat,” katanya.

Ia turut mendapat sambutan baik daripada negara-negara ASEAN seperti Thailand, Indonesia dan Filipina.

Mongolia yang pertama kali menyertai acara itu, turut membawa kumpulan besar melibatkan 30 syarikat.

Acara itu menghimpunkan kira-kira 600 pengeksport Malaysia bagi menemui bakal pembeli dari negara-negara ASEAN, Asia Timur, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta dari Eropah.