Matsuyama juarai Terbuka Phoenix

Matsuyama juarai Terbuka Phoenix

LOS ANGELES, 8 Feb – Pemain Jepun, Hideki Matsuyama menewaskan Rickie Fowler selepas mencatat par di lubang keempat pada aksi maraton penentuan playoff, sekali gus merangkul kejuaraan Terbuka Phoenix Jelajah PGA Amerika Syarikat (AS), sebentar tadi.

Bintang berusia 23 tahun itu meraih kejuaraan keduanya di jelajah AS dan memperbaiki kedudukannya selaku naib juara di belakang Brooks Koepka pada kejohanan sama tahun lalu dengan penampilan sulungnya di Terbuka Phoenix dua tahun lalu menyaksikan dia terikat di kedudukan keempat.

“Pengalaman yang hebat. Rickie membuka peluang kepada saya dan saya memanfaatkannya sebaik mungkin,” kata pemain di ranking ke-19 dunia itu.

Matsuyama yang turut bergelar juara Memorial 2014 itu melakukan dua putt untuk memenangi playoff di lubang keempat – empat par – selepas hayunan Fowler berakhir ke dalam kolam.

Kedua-dua pemain itu mencatat empat bawah 67 untuk mengikat kedudukan 14 bawah 270 pada kejohanan terbabit.

Matsuyama bersama tropi kemenangannya selepas berjaya menewaskan Rickie Fowler sekaligus merangkul kejuaraan Terbuka Phoenix Jelajah PGA Amerika Syarikat. – Reuters
Matsuyama bersama tropi kemenangannya selepas berjaya menewaskan Rickie Fowler sekaligus merangkul kejuaraan Terbuka Phoenix Jelajah PGA Amerika Syarikat. – Reuters

Matsuyama yang menang enam kali pada Jelajah Golf Jepun mengakui tidak tertekan meskipun keseluruhan penyokong bersorak untuk Fowler.

“Mereka memang menyokong Rickie, bukankah begitu? Tetapi mereka memberi saya motivasi untuk melakukan lebih baik dan akhirnya kemenangan milik saya,” katanya. – Reuters