Matthew bergerak ke Haiti, Jamaica

Matthew bergerak ke Haiti, Jamaica

KINGSTON, Jamaica, 2 Okt – Ribut taufan Matthew, ribut Caribbean paling kuat dalam satu dekad, bergerak ke arah Haiti, Jamaica dan Cuba hari ini dalam haluan yang diramalkan oleh ahli kaji cuaca membawanya ke timur Amerika Syarikat.

Pada 0600 GMT, ‘Matthew’ sedang ‘bergerak perlahan-lahan ke arah utara-barat laut’ dari pantai Caribbean Colombia dan Venezuela pada kelajuan enam batu sejam, kata Pusat Taufan Nasional yang berpangkalan di Miami.

Sebelum ini ribut Kategori 5 pada skala 1-5 Saffir-Simpson lewat Jumaat, Matthew kini telah menjadi lemah kepada taufan Kategori 4. Ia menjadikannya ribut Caribbean paling kuat sejak Taufan Felix pada 2007.

Pada haluan yang diramalkan sekarang, pusat Matthew akan melepasi Jamaica esok, membawa hujan lebat di pulau itu – tatkala ia mendarat di Haiti.

Ribut juga dijangka meneruskan haluan ke utara, melepasi selatan dan timur Cuba di antara Isnin dan Selasa tatkala ia menuju ke Bahamas.

Matthew terletak 350 batu dari selatan-barat daya ibu negara Haiti Port-au-Prince, dan jarak yang sama dari tenggara Kingston, Jamaica, kata NHC pada 0600 GMT.

Taufan itu diramalkan menurunkan hujan 15-25 inci di selatan Haiti, ‘dengan kemungkinan jumlah hujan maksimum 40 inci’.

Ribut itu juga dijangka menurunkan hujan 10-20 inci di timur Jamaica, Republik Dominic dan timur Cuba, ‘dengan kemungkinan jumlah hujan maksimum 25 inci’.

“Hujan ini mungkin mencetuskan banjir kilat dan runtuhan lumpur,” ia mengingatkan. Matthew sedang membawa angin dengan kelajuan 150 batu sejam.

Model cuaca buat masa sekarang menunjukkan ia mungkin menjejaskan kawasan darat AS. “Adalah terlalu awal untuk mengetepikan kesan ribut yang mungkin tercetus daripada Matthew di Florida,” kata NHC.

Warga Jamaica bersiap sedia dengan berbaris panjang di gedung perkakasan, pasar raya dan stesen minyak kelmarin untuk menyimpan stok barangan asasi sebelum ketibaan ribut berkenaan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA