Maulud Nabi terus semarak

Maulud Nabi terus semarak

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jan – Jabatan Perancangan, Pembangunan dan Penyelidikan, Jabatan Pendidikan kokurikulum dan Bahagian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan petang tadi telah mengadakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W yang berlangsung di Dewan Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri, Jalan Ong Sum Ping.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Majlis telah diserikan dengan ceramah khas yang telah disampaikan oleh penceramah undangan, Dekan Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani dengan tajuknya ‘Hidup Mengikut Sunah Rasulullah S.A.W’.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi bersama-sama menyemarakkan majlis sambutan Maulud Nabi Kementerian Pendidikan dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi bersama-sama menyemarakkan majlis sambutan Maulud Nabi Kementerian Pendidikan dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Antara warga Kementerian Pendidikan yang menghadiri majlis itu.
Antara warga Kementerian Pendidikan yang menghadiri majlis itu.

Dalam ceramahnya, beliau antara lain menjelaskan bahawa golongan Muslimah pada hari ini boleh dikategorikan kepada empat kelompok iaitu yang berusaha menghayati dan menghidupkan Sunah Rasul, yang melupakan Sunah Rasul, yang jahil tentang Sunah Rasul dan yang anti Sunah Rasul.

Menurut beliau, kelompok pertama itu merupakan mereka yang menjadikan Rasulullah SAW sebagai sosok manusia teladan sepanjang zaman dalam apa jua perlakuan, pertuturan dan tindakan seharian rentetan daripada kecintaan yang mendalam terhadap Allah dan RasulNya.

Manakala itu, kelompok kedua pula ialah mereka yang melupakan Sunah Rasulullah S.A.W bukan kerana jahil tentangnya tetapi menganggapnya tidak penting dalam kehidupan seharian.

“Ada yang menganggap, menjawab salam, menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah, memenuhi undangan dan mendoakan orang lain yang bersin adalah amalan biasa yang tiada nilainya. Sedangkan perkara-perkara Sunah yang dianggap remeh itu menjalinkan pahala yang besar di sisi Allah S.W.T.”

Beliau turut menyentuh mengenai beberapa faktor yang membawa kelalaian menjadikan Sunah Rasulullah SAW sebagai amalan untuk dihayati kehidupan seharian, seperti kurang ilmu pengetahuan tentang amalan Sunah, tiada kesedaran tentang pentingnya beramal dan banyak lagi.

Kelompok ketiga, jelasnya, ialah golongan yang jahil akan Sunah di mana golongan ini merupakan kelompok yang mempunyai pengetahuan cetek atau langsung tidak mengetahui apakah Sunah Rasulullah S.A.W.

“Kejahilan mereka mungkin berpunca daripada pendedahan tentang agama Islam sangat terbatas atau kerana sakit, kurang upaya, baru memeluk agama Islam dan sebagainya.”

Beliau menyeru, salah satu cara untuk memastikan pegangan umat Islam di negara ini agar terus utuh ialah dengan menghidupkan Sunah Rasulullah S.A.W dalam keperibadian setiap individu.

“Hidupnya Sunah dalam diri seseorang apabila mengetahui suatu itu ialah Sunah, dari sumber yang betul, ia terus diamalkan sehingga menjadikannya hidup dalam diri mereka. Apa yang lebih utama ialah istiqamah dan konsisten untuk beramal dengan Sunah itu.”

Beliau dalam ceramahnya juga memberikan beberapa penyelesaian untuk umat Islam mengembalikan penghayatan dan menghidupkan semula Sunah dalam diri sendiri, antaranya ialah meletakkan amalan Sunah terbaik untuk diikuti sepanjang masa dan banyak lagi.

Majlis berkenaan diserikan lagi dengan Dikir Marhaban oleh pasukan dikir Kementerian Pendidikan dan diakhiri dengan doa selamat.

ARTIKEL YANG SAMA