Maut akibat bakteria air paip

Maut akibat bakteria air paip

WELLINGTON, 19 Ogos – Ujian-ujian di New Zealand mengesahkan wanita tua yang meninggal dunia minggu lalu telah mengalami sakit akibat sejenis bakteria yang mencemari air paip setempat dan mengakibatkan ribuan orang lagi jatuh sakit di sebuah bandar kecil North Island, menurut para pegawai hari ini.

Koroner Peter Ryan mengumumkan dia telah memulakan penyiasatan ke atas kematian wanita berusia 89 tahun itu di Havelock North.

Menurutnya bedah siasat mendedahkan wanita itu mengalami masalah kesihatan lain dan ia akan membuat ujian selanjutnya untuk memastikan jika air yang telah tercemar punca kematiannya.

Kira-kira 4,000 orang di bandar itu yang mempunyai 13,000 orang penghuni itu telah mengalami sakit gastrik sejak letusan bakteria campylobacter minggu lalu. Tujuh belas orang sedang menerima rawatan di hospital, termasuklah dua orang yang dalam keadaan kritikal.

Menambah lagi masalah, sebuah tangki air yang dibawa masuk untuk menyediakan air bersih bagi para penduduk kemudian didapati mengandungi bakteria E.coli, yang memaksa para pegawai yang merasa malu meminta para penduduk membuang air itu juga.

Bandar itu kini merawat air paipnya dan air tangki dengan klorin. Ia juga meminta para penduduk memasak air paip. Para pegawai kesihatan mengatakan kes-kes baru penyakit telah mula meruncing.

Letusan seumpama itu dari air paip jarang sekali berlaku di New Zealand, yang memasarkan imej bersih dan hijaunya kepada para pelancong. Havelock North terletak di rantau indah yang terkenal dengan ladang anggur.

Para pegawai terus bingung tentang bagaimana bekalan air tercemar. Bakteria campylobacter lazimnya merebak dari najis binatang. – AP

ARTIKEL YANG SAMA