Maut di tangan bapa saudara

Maut di tangan bapa saudara

Oleh Rafidah Jumat dan Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Ogos – Seorang lelaki tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, yang juga anak saudaranya.

Lelaki yang namanya tidak dapat didedahkan itu berdepan dakwaan menyebabkan kematian terhadap mangsa pada 17 Ogos 2016 kira-kira jam 8:30 pagi.

Tiada pengakuan diambil daripada tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya Nurjauinah binti Haji Kula memohon lebih masa dari mahkamah memandangkan siasatan daripada pihak polis masih dalam peringkat awal.

Lelaki yang berusia 29 tahun itu hanya diberkas sekitar jam 9 malam tadi.

pg01_160819_mahkamah logo

Majistret Azrimah binti Haji Abdul Rahman menetapkan 1 September untuk sebutan semula, dan memerintahkan tertuduh ditahan reman di Balai Polis Pusat.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan membunuh tanpa niat di bawah Seksyen 304 (2) (Penggal 22) yang memperuntukkan pemenjaraan yang boleh dilanjutkan sehingga 15 tahun, atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Pasukan Polis Diraja Brunei mengesahkan menerima laporan kecemasan mengenai kanak-kanak perempuan itu yang dibawa ke Bahagian Kemalangan dan Kecemasan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan disahkan meninggal dunia setibanya di sana.

Unit Siasatan Khas dibantu oleh Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-kanak masih lagi menyiasat kes tersebut dan lelaki disyaki bapa saudaranya yang menyebabkan kematian kanak-kanak itu ditahan reman.

Pasukan polis dalam kenyataannya juga memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak menyebarkan berita, gambar atau maklumat yang tidak tepat, tidak benar dan tidak boleh dipercayai yang boleh menggugat ketenteraman awam yang boleh didakwa dengan hukuman penjara daripada satu tempoh sehingga tiga tahun atau denda $3,000 mengikut Seksyen 34 Akta Ketenteraman Awam Penggal 148.

ARTIKEL YANG SAMA