Maut gara-gara troli

Maut gara-gara troli

SYDNEY, 11 Nov (Agensi) – Dua sahabat yang mahu bergembira dengan menaiki troli pasar raya menuruni jalan berbukit di sini akhirnya membawa padah selepas mereka bertembung dengan sebuah kereta.

Kejadian pada tengah malam kelmarin itu menyebabkan seorang pelajar, Robin Wahlgren, 28, maut manakala rakannya cedera parah.

Dua pelajar yang berasal dari Sweden itu dilaporkan pulang dalam keadaan mabuk sebelum terjumpa satu troli pasar raya di jalan Coogee Bay di sini.

Wahlgren kemudian duduk dalam troli itu dan rakannya pula menolak dari belakang menuruni jalan berbukit di situ.

Jurucakap polis, Gavin Dengate berkata, dua pelajar itu mungkin mahu bergembira, tetapi hilang kawalan selepas troli itu turun dengan laju menuruni bukit.

“Troli itu terbabas dan masuk ke jalan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan Wahlgren melambung sejauh beberapa meter dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala,” katanya.

“Bagaimanapun, pemandu kereta yang berusia 45 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya.

ARTIKEL YANG SAMA