Maut gelombang haba lepasi 1,100 orang

Maut gelombang haba lepasi 1,100 orang

ISLAMABAD, 26 Jun (Reuters) – Angka kematian akibat gelombang haba di selatan Pakistan meningkat kepada 1,100 orang semalam, meskipun penurunan dalam suhu cuaca di bandar Karachi yang teruk terjejas, menurut para pegawai, ketika hospital-hospital, bilik-bilik mayat dan tanah perkuburan dalam kepayahan melalui tragedi ini.

Lebih 1,000 orang telah meninggal dunia di Karachi sejak awal Ramadan minggu lalu, kata Ijaz Afzal, pengarah Kementerian Kesihatan di wilayah Sindh.

Semalam sahaja, kira-kira 200 kematian dilaporkan di hospital-hospital meskipun penurunan suhu cuaca kepada 36 darjah selsius dari kira-kira 45 selsius pada awal minggu ini, menurut paramedik.

Angin sejuk dari Laut Arab telah membantu menurunkan suhu cuaca dari petang Rabu lalu, kata Muhammad Hanif, seorang pengarah di Pejabat Metrologi Pakistan.

Hampir 80 orang meninggal dunia minggu ini di bandar Hyderabad, yang bersebelahan Karachi, menurut Nafees Qureshi, seorang pegawai pentadbiran daerah. – Reuters

Anggota sukarelawan Pakistan mengebumikan jenazah mangsa gelombang haba yang tidak dituntut keluarga mereka di sebuah tanah perkuburan di Karachi pada 26 Jun 2015. – AFP
Anggota sukarelawan Pakistan mengebumikan jenazah mangsa gelombang haba yang tidak dituntut keluarga mereka di sebuah tanah perkuburan di Karachi pada 26 Jun 2015. – AFP

Afzal berkata angka kematian mungkin meningkat dengan lebih banyak laporan diterima kementerian ini dari hospital-hospital di Karachi dan bahagian lain wilayah ini.

Penurunan suhu cuaca telah mengurangkan tekanan ke atas pihak hospital, yang dipenuhi oleh beribu-ribu pesakit yang dihantar masuk oleh barisan ambulans yang tiak henti-henti pada minggu ini, menurut doktor Seemin Jamali.

“Masih, ia bukanlah situasi yang mudah,” kata Jamali di hospital Jinnah, di bandar itu, yang mana kira-kira 8.000 pesakit yang mengalami strok haba dirawat dalam tempoh empat hari. “Pesakit-pesakit ada yang berbaring di lantai dan di koridor.”

Hospital lain dan berbelas-belas khemah perubahan sementara yang didirikan oleh pihak tentera dan agensi penyelamatan awam juga dipenuhi pesakit-pesakit, kata Reema Zuberi, jurucakap wanita bagi agensi pengurusan bencana.

Bilik-bilik mayat penuh dan mayat-mayat ditempatkan di atas lantai untuk menempatkan bilangan maksimum, menurut Anwar Kazmi, jurucakap Yayasan Edhi, sebuah badan amal terbesar Pakistan yang mengendali rangkaian rumah mayat di Karachi.

ARTIKEL YANG SAMA