Maut, kereta langgar perhentian bas

Maut, kereta langgar perhentian bas

SERIAN, 9 Nov (Bernama) – Seorang lelaki maut setelah kereta yang dipandunya melanggar sebuah perhentian bas di persimpangan Taman Anggerik, Tadika Ayer Manis, Batu 37, Jalan Serian di sini kira-kira pukul 11 pagi ini.

Lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Serian dikejarkan ke tempat kejadian dan berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Serian mengesahkan mangsa yang dikenali sebagai Mohammad Sahari, dikejarkan ke Hospital Serian tetapi meninggal dunia ketika sedang dirawat di hospital berkenaan.

Sementara itu, di Bintulu pasukan bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu berjaya memujuk seorang lelaki yang cuba membunuh diri dengan terjun dari tingkat lima Parkcity Mall, Bintulu.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu seorang lelaki Cina berusia 24 tahun dalam keadaan tertekan berada di luar anjung bangunan berkenaan, bersedia untuk terjun.

Menurut jurucakap balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, anggota bomba dan penyelamat berjaya memujuk lelaki terbabit supaya masuk semula ke dalam bangunan.

Katanya, mangsa kemudian diserahkan kepada polis.

ARTIKEL YANG SAMA