Maut lori jatuh gaung

Maut lori jatuh gaung

SANDAKAN, 18 Ogos – Seorang wanita maut apabila lori tiga tan dinaikinya terbabas dan terhumban ke dalam gaung di Kilometer56 Jalan Sandakan-Beluran, semalam.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Zabidi Mohd Zain berkata pemandu loritersebut yang berusia 29 tahun turut cedera parah, tetapi dilaporkan dalam keadaan stabil dan kini dirawat di Hospital Beluran.

Katanya kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 petang apabila lori terbabit hilang kawalan lalu terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam 30 meter.

Menurutnya akibat kejadian itu, penumpang lori iaitu seorang wanita yang identitinya belum dikenal pasti, berusia lingkungan 30-an mati di tempat kejadian.

Maklumat mangsa belum diperoleh disebabkan tiada dokumen pengenalan diri dijumpai daripadanya, kata Zabidi di sini, hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan beliau meminta saksi kejadian agar tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan. – Bernama