Maut, terjunam dalam gaung

Maut, terjunam dalam gaung

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 9 Okt – Seorang pemandu maut apabila  lori muatan batu yang dipandunya terjunam ke dalam gaung sedalam 100 meter dalam kejadian yang berlaku  di kilometer 35  Pekan  Medamit di sini awal pagi semalam.

Mangsa Yahya Morshidi, 42, dari Kampung Pelita Limbang meninggal dunia serta merta di tempat kejadian selepas tercampak keluar 50 meter sebelum lori muatannya terjunam ke dalam gaung dalam kejadian yang berlaku jam 5:30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Lori yang dipandu mangsa terjunam ke dalam gaung.
Lori yang dipandu mangsa terjunam ke dalam gaung.
Orang ramai membantu mengangkat mangsa.
Orang ramai membantu mengangkat mangsa.

Jelasnya ketika kejadian mangsa yang memandu lori  muatan batu dari arah Hulu Medamit ke Pekan Medamit hilang kawalan lalu terjunam ke dalam gaung di kawasan berkenaan.

“Mangsa telah tercampak keluar dari lori sejauh 50 meter. Akibat kejadian itu mangsa  meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dada,” katanya di sini semalam.

Kes tersebut diklasifikasikan di bawah Seksyen 43(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.