Maut tersepit dalam kenderaan

Maut tersepit dalam kenderaan

LIMBANG,8 Sept – Seorang pemandu terkorban apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu dalam kejadian yang berlaku di Jalan Melaban tengah kira-kira jam 12.00 tengah hari tadi.

Mangsa, Ahmad Yani Bukhori, 55, berasal dari Sabah mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan tangan selepas tersepit di bahagian hadapan pemandu. Anggota bomba yang berkejar ke tempat kejadian berjaya mengeluarkan mangsa dalam keadaan cedera parah serta dihantar ke hospital untuk rawatan.

Bagaimanapun, dia dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 4.30 petang ini.

Manakala rakannya Dhalib Abdul Rozak 43, dari Indonesia, yang berada di tempat duduk penumpang hanya mengalami kecederaan ringan dan kedua-duanya sudah dihantar ke hospital oleh anggota bomba, hospital, trafik dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

Sementara itu pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

TERSEPIT...Anggota bomba bertungkus lumus mengeluarkan mangsa yang tersepit di hadapan tempat duduk pemandu.
TERSEPIT…Anggota bomba bertungkus lumus mengeluarkan mangsa yang tersepit di hadapan tempat duduk pemandu.

Ketua Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Limbang, Pegawai Bomba Kanan Dua Mohd Ali Salleh berkata pemandu dan penumpang yang merupakan rakan baik itu dalam perjalanan dari Tedungan ke pusat bandar .

Ketika kejadian, katanya pemandu kereta Proton Saga dikatakan bertembung dengan lori berkenaan sebelum terbabas ke bahu jalan.

“Kami terpaksa mengambil masa selama 15 minit mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian depan tempat duduk pemandu.

Kita juga  menggunakan peralatan kecemasan untuk mengeluarkan pemandu yang tersepit sebelum di hantar ke hospital,”ujarnya.

Kata Mohd Ali  seramai  tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan sekitar jam 12.37 tengah hari.

“Sebanyak tiga buah kereta bomba turut berada di lokasi bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian hadapan pemandu,”jelasnya.

Jarak lokasi kejadian dari pusat bandar adalah sejauh 21 kilometer. – Arissa