MAVCOM gesa selesaikan masalah cukai KLIA, KLIA2

MAVCOM gesa selesaikan masalah cukai KLIA, KLIA2

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Pihak Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) digesa segera meleraikan perbezaan ketara caj perkhidmatan penumpang (PSC) antara Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA2), sejajar amalan penerbangan antarabangsa.

Ketika membuat gesaan itu, Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari, berkata isu PSC atau lebih dikenali cukai lapangan terbang itu wajar diselesaikan seawal mungkin bagi mengelaknya menjejaskan sektor penerbangan negara jika tidak ditangani segera.

Bayaran PSC ditetapkan pada RM32 dan RM6 masing-masing untuk penumpang antarabangsa dan domestik yang menggunakan KLIA2 manakala penumpang di KLIA sebaliknya perlu membayar lebih iaitu RM65 and RM9 bagi penerbangan antarabangsa dan domestic.

Beliau mengulas bantahan disuarakan IATA dan Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik (AAPA) yang menyifatkan perbezaan ketara caj itu sebagai tidak munasabah kerana kemudahan dan perkhidmatan di kedua-dua terminal itu setanding dan turut berkongsi landasan sama.

IATA dan AAPA turut menulis kepada pihak Kementerian Pengangkutan dan MAVCOM mengenai keperluan memperkenalkan kadar PSC yang seragam di KLIA dan KLIA2 berikutan kemudahan dan perkhidmatan yang sama taraf dan aspek penetapan harga perkhidmatan itu harus berkaitan kos dan tidak bersifat diskriminasi.

Ahmad Fauzi yang sememangnya mengikuti rapat perkembangan industri penerbangan, turut membangkitkan peranan Malaysia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, termasuk dilantik menganggotai Majlis ICAO dan sewajarnya amat penting untuk negara ini mengangkat prinsip-prinsip ICAO.

“Sehubungan itu, amat penting bagi kita menyeragamkan PSC supaya ianya tidak bercanggah dengan prinsip yang ditetapkan pertubuhan ini,” tegasnya.

ICAO yang berpejabat di Montreal, adalah agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta berperanan sebagai forum global penerbangan awam antarabangsa yang menetapkan peraturan dan kawal selia bagi keselamatan penerbangan, kecekapan serta perlindungan persekitaran bidang berkenaan. Hanya Malaysia dan Singapura mewakili Asia Tenggara sebagai anggota majlis ICAO ketika ini. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA