Mayat anak damit ditemui di bawah jambatan Kg. Sungai Besar

Mayat anak damit ditemui di bawah jambatan Kg. Sungai Besar

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Ogos – Mayat anak damit telah ditemui oleh orang awam di kawasan bawah jambatan Kampung Sungai Besar, Jalan Kota Batu, lewat pagi tadi.

Pasukan Polis Diraja Brunei, dalam kenyataannya, hari ini, telah mengesahkan bahawa pihak mereka telah menerima panggilan kecemasan mengenai penemuan mayat anak damit berkenaan yang dipercayai baru lahir.

Balai Polis Pusat bersama Unit Siasat Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Siasatan Jenayah dengan serta merta membuat siasatan ke atas kes berkenaan.

Menurut kenyataan itu lagi, mayat anak damit tersebut telah dibawa ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) di mana anak damit itu telah disahkan meninggal dunia.

Siasatan yang dijalankan pihak polis telah berjaya mengenal pasti ibu anak damit tersebut yang juga telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Bedah siasat ke atas anak damit tersebut telah segera dijalankan untuk memastikan punca kematian.

Selain itu, perkara ini juga dihadapkan ke pengetahuan pihak Jabatan Pembangunan Masyarakat bagi menjalankan siasatan sosial terhadap individu yang terlibat.

Pihak polis sekali lagi memohon kerjasama dan mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan gambar anak damit berkenaan bagi menjaga identiti anak damit tersebut.

 

ARTIKEL YANG SAMA