Mayat anggota bomba ditemui terapung dipercayai lemas

Mayat anggota bomba ditemui terapung dipercayai lemas

KUCHING, 26 Julai (Bernama) – Mayat seorang anggota bomba ditemui terapung berhampiran pantai Kampung Buntal, kira-kira 20 kilometer dari sini, tengah malam tadi.

Menurut jurucakap bomba, anggota itu Mon Jumat, 48, dari balai bomba dan penyelamat di sini yang sedang bercuti telah dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar ke laut untuk menjaring ikan seorang diri pada pukul 2 petang semalam.

Beliau berkata selepas menerima laporan mengenai kehilangan anggota berkenaan, tujuh anggota bomba digegaskan ke tempat kejadian pada pukul 11.10 malam tadi.

Namun sekitar tengah malam, mayat Mon dilaporkan ditemukan oleh nelayan dan penduduk kampung, katanya.

Mangsa telah berkhidmat sebagai anggota bomba sejak lebih 25 tahun lalu.