Mayat dipercayai mangsa tongkang karam ditemukan

Mayat dipercayai mangsa tongkang karam ditemukan

DARO, 28 Nov – Mayat dipercayai mangsa tongkang karam di perairan berhampiran Kampung Betanak, Pulau Bruit pada Sabtu lalu ditemukan di pesisir Kampung Salah Kechil tengah hari tadi.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia Daerah Maritim Kuching, Komander Maritim Shahref Mac Queen Abdullah berkata mayat yang belum dikenal pasti itu ditemukan orang awam yang menyertai operasi dan menyelamat yang masuk hari kedua hari ini.

“Mayat telah dibawa dengan bot maritim ke Kampung Betanak untuk pengecaman dan bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kejadian antara 9 dan 10 malam itu, enam mangsa tenggelam apabila tongkang tersebut karam sementara dua daripada mereka selamat setelah dapat berpaut pada tongkang.

Yang hilang ialah kapten tongkang Pawi Nyawan, 50-an, pasangan suami isteri yang hanya dikenali sebagai Kamal dan Mera, 30-an dari Debak dan seorang warga Indonesia, Angga Wahyudi, 24.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat akan diperhebatkan dengan penambahan aset daripada pelbagai jabatan dan agensi serta orang awam.

Tongkang Jin Fiat No. 1 itu sedang membawa batu kelikir dari Sebuyau menuju Pulau Bruit apabila terbalik pada kedudukan tiga batu nautika dari Kampung Betanak akibat dipukul ombak kuat. – Bernama