Mayat ditemui dalam parit

Mayat ditemui dalam parit

KUCHING, 13 Sept – Mayat seorang lelaki yang tidak dikenali ditemukan di dalam sebuah parit di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan Petra Jaya di sini tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata polis menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu daripada orang ramai kira-kira jam 14.15 petang.

“Dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat, mayat berkenaan telah dikeluarkan dari dalam parit dan hasil pemeriksaan awal oleh pasukan forensik Hospital Umum Sarawak menggesahkan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal atau terdapat sebarang kesan perbuatan khianat,” katanya.

Beliau berkata mangsa dipercayai berketurunan Melayu dan berumur dalam lingkungan 30-an.

Mereka yang kehilangan anggota keluarga diminta menghubungi Balai Polis Gita.

Sementara itu di Labuan, mayat seorang wanita yang telah reput ditemukan di bawah bukit berdekatan Kampung Sungai Lada pada Isnin.

Seorang individu yang berjogging menemukan mayat tersebut selepas terhidu bau busuk dalam kawasan semak.

Ketua Polis Labuan, Supt Adzhar Othman berkata tidak terdapat kesan perbuatan khianat dilakukan ke atas mangsa. – Bernama

Sementara itu beliau berkata pihak polis sedang mengesan suspek yang memecahkan van milik Pos Malaysia Berhad yang diparkir di hadapan pejabat pos lama di Jalan Merdeka. – Bernama