Mayat ditemui dengan kesan tembakan

Mayat ditemui dengan kesan tembakan

SANDAKAN, 12 Nov (Bernama) – Seorang lelaki warga asing ditemui mati di dalam rumahnya di kawasan setinggan Mangkalinau Batu 3 Jalan Utara dekat sini, Khamis.

Sepasukan anggota polis pergi ke tempat kejadian selepas menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 7:30 pagi.

Mangsa dipercayai warganegara Filipina berusia lingkungan 50-an dan mayatnya ditemui dengan kesan tembakan di badannya.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Zabidi Mohd Zain berkata berkata polis mengklasifikasikan kes itu sebagai pembunuhan dan menyiasat untuk menentukan motif.

Katanya polis tidak menemui dokumen pengenalan diri mangsa di tempat kejadian.

Menurutnya mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Duchess of Kent, di sini untuk bedah siasat.