Mayat ibu dan anak ditemui dikerat-kerat

Mayat ibu dan anak ditemui dikerat-kerat

TIJUANA, Mexico, 15 Jun (AFP) – Mayat seorang wanita etnik Rusia dan anak perempuannya ditemui dalam keadaan dikerat-kerat dan dimasukkan ke dalam plastik sampah di bandar Tijuana berhampiran sempadan Amerika Syarikat.

Timbalan pendakwa raya negeri Baja California, Jose Maria Gonzalez berkata anak perempuan sulung wanita itu yang berusia 19 tahun serta penagih dadah, adalah suspek utama dalam insiden pembunuhan itu.

Mayat dua beranak berkenaan ditemui selepas beberapa orang jiran melaporkan bau busuk dari rumah mereka di daerah kelas pertengahan Playas de Tijuana.

Pihak berkuasa menemui mayat Yuliya Masney Safonchik, 45, dan anak perempuannya berusia 12 tahun, Valeria Lechtchenko pada Khamis lepas.

“Mayat mereka dalam keadaan dikerat-kerat dan disimpna di dalam plastik sampah. Kedua-dua mereka dipenggal kepalanya dan mata anak perempuan mangsa hilang,” kata Gonzalez.

Beliau berkata siasatan awal mendapati seorang lagi anak perempuan mangsa, Anastasia, mungkin melakukan pembunuhan kejam tersebut.

Keluarga tersebut dikatakan sudah melaporkan penagihan dadah Anastasia kepada pihak berkuasa.

Mereka menetap di Tijuana, di sempadan San Diego, sejak lebih sedekad lepas.