Mayat juruterbang helikopter ditemukan – Polis

Mayat juruterbang helikopter ditemukan – Polis

KUCHING, 9 Mei (Bernama) – Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pagi ini sudah menemukan mayat seorang lelaki, dipercayai mangsa terakhir nahas helikopter di Batang Lupar Khamis lepas, kira-kira 250 kilometer dari sini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata mayat ditemukan pasukan polis Marin pada kira-kira pukul 10.15 pagi, kira-kira 5.5 kilometer dari pangkalan feri Triso.

Beliau berkata umum tahu bahawa mayat terakhir nahas ialah juruterbang helikopter malang itu warga Filipina Kapt Rudolf Rex Ragas, namun menurutnya polis tidak dapat membuat pengesahan identiti, sehingga ia disahkan oleh pihak forensik hospital.

“Mayat dibawa ke pusat kawalan kita di Lingga sekitar pukul 11 pagi dan ke sini sebelum dihantar untuk bedah siasat di Hospital Umum Sarawak,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini, hari ini.

Dalam tragedi Khamis lepas, helikopter jenis Eurocopter AS350, yang dinaiki lima penumpang serta juruterbang, dipercayai terhempas di Sungai Batang Lupar di Sebuyau.

Datuk Seri Mohammad Sabtu Osman ketika sidang akhbar selepas melawat pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di Jeti Pasar Lingga Ahad lalu. – Bernama
Datuk Seri Mohammad Sabtu Osman ketika sidang akhbar selepas melawat pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di Jeti Pasar Lingga Ahad lalu. – Bernama

Mayat lima penumpang terdiri daripada Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon dan suaminya Asmuni Abdullah, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun, Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Ketua Setiausaha kementerian tersebut, Datuk Dr Sundaran Annamalai, telah ditemukan.

Muhammad Sabtu berkata operasi di kawasan berkenaan akan diteruskan bagi mencari bangkai helikopter, dan ketika ini beliau tidak dapat mengesahkan operasi itu akan berlarutan sampai bila.

Menurutnya semua pihak yang terlibat dalam operasi SAR seperti Tentera Laut Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), polis Marin, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, dan lain-lain lagi masih berada di lokasi.

Beliau berkata semua agensi berkenaan sedang bekerja keras dengan gajet masing-masing bagi mengesan bangkai helikopter itu.