Mayat kedua pelajar Mexico dikenal pasti

Mayat kedua pelajar Mexico dikenal pasti

MEXICO CITY, 17 Sept (AFP)– Mayat orang kedua dari 43 orang pelajar Mexico yang dilaporkan hilang mungkin dapat dikenal pasti, menurut pihak berkuasa semalam, hampir setahun selepas jenayah yang mengejutkan pentadbiran Presiden Enrique Pena Nieto.

Peguam Negara Arely Gomez berkata pakar-pakar forensik dari Universiti Innsbruck, Austria mendapat ‘petunjuk yang boleh mewujudkan kemungkinan padanan’ antara Jhosivani Guerrero de la Cruz, 21 dan DNA yang diperolehi dari tulang.

Dalam bulan Disember pihak universiti dengan positif telah mengenal pasti Alexander Mora, 19 tahun di antara 17 rangka yang telah hangus.

Pada Januari, pejabat peguam negara berkata Universiti Innsbruck telah gagal mengenal pasti lebih banyak rangka dengan menggunakan analisis biasa DNA dan akan terpaksa melakukan teknik lain yang berisiko memusnahkan contoh genetik.

Pengumuman semalam dibuat lebih seminggu selepas penyiasatan rasmi disoal oleh penyiasatan bebas.

Pihak pendakwa membuat kesimpulan pada tahun lalu bahawa polis tempatan di bandar selatan Iguala telah menembak bas-bas yang dirampas oleh pelajar-pelajar tidak bersenjata pada malam 26-27 September bagi kegiatan politik mereka.

Para pegawai telah menghantar 43 orang pelajar kepada kumpulan dadah Guerreros Unidos yang membunuh mereka, membakar mayat mereka di tempat pembuangan sampah dan membuang abu mereka di sebatang sungai, menurut pihak pendakwa yang mengumumkan itu adalah ‘kebenaran bersejarah.’

Namun pakar-pakar dari Suruhanjaya Antara Amerika bagi Hak Asasi Kemanusiaan (IACHR) berkata minggu lalu bahawa itu adalah mustahil dari segi saintifik bagi pelajar-pelajar telah dibakar di tempat pembuangan sampah.

Rangka-rangka yang telah dihantar ke Austria ditemui dalam sebuah beg di sungai itu, pakar-pakar IACHR berkata beg itu ditemui di kawasan yang jauhnya pemanduan sejam dari tempat pembuangan sampah, yang menunjukkan mereka dibakar di tempat lain.