Mayat keempat nahas bot Thailand ditemui

Mayat keempat nahas bot Thailand ditemui

BANGKOK, 29 Mei – Mayat lelaki Britain yang hilang selama empat hari selepas bot laju pelancong karam di selatan Thailand ditemui di atas batu berhampiran lokasi kejadian, menjadikan angka kematian nahas itu kepada empat.

Kapal membawa 32 pelancong termasuk empat kru, tenggelam tengah hari Khamis selepas dirempuh ombak besar berhampiran pantai Koh Samui, pulau peranginan popular di Teluk Thailand.

Kemalangan menyebabkan semua penumpang terhumban ke dalam laut, dan sebahagian lagi terperangkap di bawah kapal. Mayat tiga wanita dari Britain, Jerman dan Hong Kong ditemui tidak lama kemudian ketika penyelamat bergelut dengan laut bergelora untuk mencari Jason Parnell, 46.

“Pasukan penyelamat menemui mayatnya pada jam 9.25 pagi waktu tempatan berhampiran lokasi kemalangan. “Mayatnya terperangkap di celah batu. Pekerja penyelamat membawa mayatnya ke pantai dengan bot getah dan kami sudah menamatkan pencarian,” kata Leftenan Jeneral Ukhcarawath Sithanaubol.

Parnell turut  bersama-sama isterinya yang terselamat dalam kemalangan itu, kata polis. Pelancong Britain kedua yang terbunuh, Monica Cozma, sedang dalam meraikan bulan madu dengan suaminya selama tiga minggu, yang terselamat, menurut laporan akhbar Daily Mail Britain.

Gambar fail bertarikh 26 Mei 2016 yang diambil dari video menunjukkan anggota penyelamat cuba untuk menyelematkan seorang wanita yang terperangkap dari bawah bot karam di Koh Samui, Thailand. – AP
Gambar fail bertarikh 26 Mei 2016 yang diambil dari video menunjukkan anggota penyelamat cuba untuk menyelematkan seorang wanita yang terperangkap dari bawah bot karam di Koh Samui, Thailand. – AP

Pegawai-pegawai Thai mengenalpasti kedua-dua mangsa berusia 29 tahun dari Jerman, Kafo Franeiska dan seorang lagi dari warga Hong Kong berusia 30 tahun, Trunk Laidka. Bot-bot yang membawa pelancong di sekitar pantai popular Thailand adalah terkenal dengan pemanduan yang melulu dan sering menghadapi kekurangan jaket keselamatan.

Bot laju juga sering dipenuhi dan lebih muatan apabila syarikat-syarikat cuba untuk mengambil sebanyak keuntungan dari setiap perjalanan. Polis telah mengenakan kapten Thai yang memandu bot pelancongan itu dengan kecuaian sehingga membawa kepada kematian dan kecederaan, suatu jenayah yang membawa sehingga 10 tahun penjara. – AFP