Mayat Morais ditemui

Mayat Morais ditemui

PETALING JAYA, 16 Sept (Bernama) – Mayat ditemukan dalam tong berisi konkrit di Subang Jaya dekat sini awal pagi ini disahkan ialah Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais yang dilaporkan hilang sejak 4 Sept lepas, menurut polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Bukit Aman) Datuk Seri Mohmad Salleh berkata pihaknya bagaimanapun masih perlu mendapatkan pengesahan selanjutnya daripada anggota keluarga Morais.

“Bedah siasat ke atas mayat akan dilaksanakan kira-kira pukul 2 petang di Hospital Kuala Lumpur,” katanya pada sidang berita di lokasi penemuan mayat berkenaan, hari ini.

Beliau berkata penemuan mayat itu merupakan susulan siasatan yang dijalankan pihak polis terhadap tujuh orang suspek warga tempatan, termasuk seorang wanita dan seorang kanak-kanak, yang ditahan sejak semalam.

Seorang daripada suspek telah membawa pihak polis ke lokasi tong itu pagi ini di Taman Perumahan USJ 1, Persiaran Subang Mewah berhampiran Sungai Klang, katanya.

“Apabila ditunjuk suspek, kita dapatkan bantuan Jabatan Bomba dan patalogist untuk tarik tong pada pukul 8 pagi. Lepas tong drum dipecahkan jumpa satu mayat yang kita percaya adalah mendiang yang hilang,” katanya.

Mayat Morais dibawa ke hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat. – Bernama
Mayat Morais dibawa ke hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat. – Bernama

Morais, 55, kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, Kuala Lumpur pada Jumaat lepas untuk ke pejabatnya di Putrajaya dengan memandu kereta Proton Perdana berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran WA 6264 Q. Mohmad berkata pasukan penyelam polis terpaksa diarahkan bagi mencari tong terbabit yang tenggelam ke dasar sebuah paya, dan kren digunakan untuk menarik tong itu keluar.

“Operasi bermula pukul 6 pagi tadi dan tamat kira-kira 10.30 pagi,” katanya.

Ditanya sama ada mayat dijumpai dalam keadaan sempurna, Mohmad berkata ia belum dapat disahkan kerana “mayat masih dalam guni (dan) kita tak tengok sama ada dipotong atau tidak.

“Biarlah kita beritahu kemudian selepas bedah siasat,” katanya.

Mengulas mengenai suspek yang ditahan, Mohmad berkata polis percaya hanya lima suspek lelaki berusia 22 sehingga 52 tahun terlibat, manakala suspek perempuan dan kanak-kanak tidak mempunyai kaitan.

Mohmad berkata siasatan polis terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Jalan Duta telah memberikan mereka panduan untuk mendalami siasatan kes, “dan selepas 13 hari siasatan dijalankan, pada 15 Sept (semalam) kita buat tangkapan ke atas tujuh orang ini.”

Beliau berkata polis percaya kes pembunuhan itu bermotifkan dendam dan berkait rapat dengan satu kes perbicaraan yang dikendalikan Morais melibatkan kes rasuah seorang doktor yang berkhidmat di sebuah hospital tentera.

Katanya doktor berumur 52 tahun itu telah ditahan di Rawang semalam dan merupakan antara tujuh orang suspek yang telah ditahan reman mulai hari ini.

Mohmad berkata polis sedang menjejaki suspek lain.

Beliau berkata polis turut merampas tiga buah kenderaan iaitu pacuan empat roda Mitsubishi Triton yang dipercayai digunakan untuk melanggar kereta Morais di Jalan Duta pada 4 Sept lepas, serta Honda Accord dan Proton Persona di Lembah Klang dan Pulau Pinang.

Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM17,100 di Pulau Pinang dan RM15,000 di Lembah Klang, katanya.

Mohmad berkata polis turut merampas sekeping resit pembelian simen, pasir dan batu daripada sebuah kedai ‘hardware’ berhampiran lokasi mayat ditemukan, dan barangan itu dipercayai bagi tujuan memampatkan mayat di dalam tong terbabit.

Sementara itu, di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur, adik bongsu Morais, Datuk Richard, yang berterima kasih kepada pihak polis yang menjumpai abangnya, berkata sebelum kehilangannya, Morais tidak menunjukkan sebarang perubahan atau berkelakuan ganjil.

“Beliau tidak suka berkongsi hal kerja dengan keluarga,” katanya yang menyifatkan abangnya seorang yang profesional dan perahsia di dalam hal kerja.

Beliau turut menyifatkan kematian abangnya “bukan kes kematian biasa, keadilan akan terbukti.”

ARTIKEL YANG SAMA