Mayat pegawai kapal ditemui terapung

Mayat pegawai kapal ditemui terapung

LABUAN, 16 Sept (Bernama) – Mayat seorang anak kapal ditemui terapung berdekatan Terminal Feri Antarabangsa Labuan semalam.

Mayat Bajuri Butir, 39, berasal dari Beaufort dikesan orang ramai tanpa berbaju kira-kira 8.30 pagi.

Ketua Polis Labuan, Supt Adzhar Othman berkata pihak polis menyifatkan kematian mangsa sebagai kematian mengejut.

“Berdasarkan hasil bedah siasat, didapati mangsa mati akibat lemas lebih 24 jam sebelum mayatnya ditemui,” katanya.

Menurut kapten kapal tersebut, Bajuri bertugas sebagai pegawai yang mengendali peralatan dan anak kapal lain.

Dia dikatakan meninggalkan kapal pada Ahad lalu dan tidak kembali ke kapal sehingga mayatnya ditemui.