Mayat penjual sayur jatuh sungai ditemui terapung

Mayat penjual sayur jatuh sungai ditemui terapung

KANOWIT, 31 Mei (Bernama) – Mayat seorang penjual sayur yang terjatuh ke dalam Sungai Pedai dari perahu dinaikinya Jumaat lalu, ditemui terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Bomba dan Penyelamat Daerah Kanowit kira-kira pukul 2.40 petang ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Kanowit Arahman Chik berkata mayat Han Kim Shui, 60, ditemui kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian di Sungai Rajang, iaitu 30 minit perjalanan menggunakan bot dari Pekan Kanowit.

“Mayat sudah diserahkan kepada polis sebaik sahaja pengecaman identiti oleh keluarga Han untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata dalam kejadian dua hari lepas, Han dikatakan dalam perjalanan balik ke kediamannya di Sungai Pedai selepas menjual sayur di pekan Kanowit apabila dia tiba-tiba terjatuh ke dalam sungai.

Katanya Han jatuh semasa perahunya tiba di jeti yang jaraknya hanya kira-kira 200 meter dari rumahnya, dan perahunya itu kemudiannya terus hanyut dibawa arus.