Mayat rentung ditemui dalam hutan terbakar

Mayat rentung ditemui dalam hutan terbakar

LOS ANGELES, 24 Julai – Ribuan buah rumah kekal diarahkan kosong hari ini ketika dua kebakaran besar melanda pergunungan dan ngarai California, dan pihak berkuasa berkata satu mayat telah ditemui di salah satu kawasan kejiranan yang dilanda kebakaran.

Mayat itu ditemui pada malam Sabtu di luar sebuah rumah di Jalan Iron Canyon di Santa Clarita, hanya utara Los Angeles, dan detektif cuba untuk memastikan sama ada orang itu terkorban akibat kebakaran atau punca lain, kata Leftenan syerif Wilayah Los Angeles, Rob Hahnlein.

Rumah itu juga mungkin telah terbakar, ujarnya.

Kawasan itu di antara yang dikerahkan untuk dikosongkan ketika kebakaran melanda belukar layu setelah beberapa hari Selatan California dibadai gelombang kepanasan dengan suhu 100 darjah.

Sejak Jumaat, kebakaran itu, yang dimarakkan lagi oleh angin kencang, telah membakar atas dan bawah rabung gunung, dengan memusnahkan 31 batu persegi belukar di tepi Santa Clarita dan Angeles National Forest.

Hanya 10 peratus saja yang berjaya ditangani pada lewat malam Sabtu.

Selepas kebakaran melanda di seluruh kawasan kejiranan yang dikosongkan, anggota bomba melaporkan beberapa bangunan juga terbakar, namun ia masih tidak jelas sama ada ia adalah rumah, bangunan luar atau garaj, kata Nathan Judy, seorang jurucakap bagi Perkhidmatan Kebakaran AS.

Kawasan itu masih belum selamat, katanya lewat malam Sabtu.

“Masih lagi ada tempat terbakar di kawasan itu, terdapat banyak sisa-sisa membara,” dan pokok-pokok yang mungkin tumbang kerana akarnya sudah terbakar, kata Judy. – AP