Mayat tinggal rangka ditemui di tepi pantai

Mayat tinggal rangka ditemui di tepi pantai

TAWAU, 8 Julai – Mayat yang hanya tinggal rangka dipercayai merupakan mangsa pembunuhan ditemukan di tepi Pantai Tinagat dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata rangka manusia itu ditemui kira-kira pukul 1.30 tengah hari semalam susulan aduan orang awam yang terlihat apa yang dipercayai tulang manusia di pantai berkenaan ketika penduduk sekitar menziarahi sebuah perkuburan berdekatan sempena sambutan Aidilfitri.

“Pemeriksaan menemui mayat hanya tinggal rangka yang tidak sempurna dengan dikerumuni dengan lalat, kepala mangsa berwarna hitam dipercayai kesan dibakar, manakala terdapat tali nilon warna merah terikat pada kaki mangsa.

Setakat ini sukar untuk menentukan jantina rangka yang ditemui memandangkan mayat hanya tinggal tulang dan reput. Tidak ada sebarang dokumen ditemui pada tubuh mangsa atau kawasan sekitar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Fadil juga berkata tayar kereta separuh terbakar dipercayai digunakan untuk membakar mayat turut ditemui berdekatan mayat.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mayat atau rangka manusia telah dibawa ke Hospital Tawau dan disimpan di Jabatan Forensik Hospital Tawau. Bedah siasat akan dilakukan oleh seorang pakar patologi dari Hospital Queen Elizabeth pada 12 Julai,” katanya. – Bernama