Mayat wanita hilang selepas kereta terjunam ke dalam sungai, ditemui

Mayat wanita hilang selepas kereta terjunam ke dalam sungai, ditemui

PAPAR, 3 Ogos – Mayat seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak 31 Julai lalu selepas kenderaan jenis pacuan empat roda yang dipandunya di Taman Sayang, di Jalan Malugus terjunam ke dalam sungai 31 Julai lalu, ditemukan pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah berkata mayat Rohani Samsudin, 50, ditemukan penduduk kampung di muara Sungai Bundusan, jam 10 pagi, kira-kira tiga kilometer dari lokasi ia dilaporkan hilang.

“Bomba tiba di lokasi mangsa ditemukan pada 10:10 pagi untuk mengambil mayat mangsa dan seterusnya menyerahkannya kepada pihak polis pada 10:17 pagi,” menurut jurucakap PGO di sini hari ini.

Menurut jurucakap berkenaan, dengan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Papar, DSP George Abd Rakman berkata kejadian berlaku kira-kira 5:54 petang, 31 Julai lalu ketika mangsa memandu kenderaannya itu di kawasan Taman Sayang yang berhampiran dengan sungai.

Katanya siasatan awal mendapati kenderaan yang dipandu mangsa itu terbabas sendiri lalu terjunam ke dalam sungai ketika membuat pusingan U. – Bernama