Mayat warga emas hilang ditemui

Mayat warga emas hilang ditemui

SARATOK, 27 Julai – Mayat lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak petang Isnin lalu semasa turun ke Sungai Seblak, Roban dekat sini untuk menangkap udang, ditemukan penduduk kampung pada 8:55 pagi tadi.

Mayat Suhaili Ladi, 62, dari Kampung Sessang ditemui pada jarak dua kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Lee Thai Lein ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat mangsa dan masih menunggu laporan bedah siasat.

Kehilangan warga emas itu di Sungai Seblak yang terkenal dengan kejadian serangan buaya yang dinamakan Bujang Seblak telah menimbulkan keresahan kepada isterinya Uteh Ilin, 56.

Penduduk kampung telah melakukan pencarian tetapi hanya menemui perahu diguna mangsa, kira-kira 9 malam.

Balai Bomba dan Penyelamat Saratok telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat sebaik sahaja menerima laporan kejadian tersebut. – Bernama