Mayat warga emas yang hilang ketika memancing di Sipitang dijumpai

Mayat warga emas yang hilang ketika memancing di Sipitang dijumpai

KOTA KINABALU, 31 Julai (Bernama) – Mayat wanita warga emas yang dilaporkan hilang ketika memancing di kawasan Taman Negara Pantai Merintaman, Sipitang, kira-kira 144 kilometer dari sini petang semalam dijumpai awal pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sipitang Mohd Rizzan Jefri berkata, mayat Jodah Fakar yang berusia dalam lingkungan 60-an dijumpai terapung pada pukul 7.26 pagi oleh nelayan, kira-kira 10km dari lokasi dia dilaporkan hilang.

“Mayat mangsa dijumpai terapung di kawasan laut oleh nelayan tempatan yang kemudian menghubungi pihak kami. Mayat itu kemudian diserahkan kepada polis,” kata Mohd Rizzan dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian petang semalam, mangsa bersama dua lagi rakannya, juga warga emas, dikatakan pergi memancing di kawasan Pantai Merintaman.

Di situ mangsa dikatakan meninggalkan dua rakannya untuk memancing di lokasi lain dan selepas mangsa tidak kembali, dua rakannya pergi mencarinya namun gagal menemuinya.

Dua rakannya itu kemudian memaklumkan kejadian tersebut kepada keluarga mangsa yang bertindak melaporkannya kepada polis.