Maybank anjur Hari Tanggungjawab Korporat

Maybank anjur Hari Tanggungjawab Korporat

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Sept – Maybank Brunei akan menganjurkan Hari Tanggungjawab Korporat (CR) 2015 dengan kerjasama daripada Pusat Pembangunan dan Pembelajaran (CSDI) Politeknik Brunei, Pusat Ehsan Al-Ameerah Al Hajjah Maryam dan SMARTER Brunei, yang akan diadakan di Politeknik Brunei, di sini, esok.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Maybank Brunei, acara sehari dari pukul 9 pagi hingga 5 petang itu, akan diisi dengan pelbagai aktiviti seperti pertandingan fotografi, persembahan yang dikendalikan oleh Politeknik Brunei, zumba amal dan bermacam-macam lagi.

Acara berkenaan diadakan bersempena Hari CR Global Kumpulan Maybank yang mana lebih daripada 24,000 pekerja di seluruh rangkaian global Maybank dari 19 buah negara di seluruh dunia akan meluangkan hari berkenaan menjalankan pelbagai projek komuniti yang membabitkan kanak-kanak istimewa, orang tua dan mereka yang kurang upaya serta program alam sekitar.

Ia dipercayai merupakan acara CR terbesar yang dianjurkan oleh syarikat Malaysia, menurut kenyataan berkenaan.

Selain daripada itu, Hari CR Global Maybank juga memberikan peluang kepada setiap kakitangan Maybank supaya mempengaruhi atau memberi kesan kepada komuniti sejajar dengan misi kumpulan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih berperikemanusiaan.

Projek berkenaan bukan inisiatif yang diadakan sekali sahaja tetapi dijalankan beberapa kali untuk memastikan kesan mampan dan jangka panjang.

Ia juga sebahagian daripada program ‘Cahaya Kasih’ Maybank Brunei Berhad iaitu program sukarelawan Maybank yang dilancarkan pada 2006 dengan tujuan mengatasi cabaran yang dihadapi oleh masyarakat, terutamanya halangan kepada pendidikan dan perkembangan peribadi.

ARTIKEL YANG SAMA