Maybank Brunei berhasrat luas operasi

Maybank Brunei berhasrat luas operasi

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Julai – Maybank Brunei terus komited untuk meningkatkan lagi bukan sahaja mutu perkhidmatannya kepada pelanggan-pelanggan mereka tetapi juga terus merangka strategi baru supaya mampu memberikan perkhidmatan dan produk yang terbaik buat pelanggan mereka serta meneroka segmen perbankan yang baru.

Maybank Brunei buat tahun kedua berturut-turut telah mencatatkan mercu tanda yang penting dalam sejarah bank berkenaan di Brunei apabila sekali lagi, Global Banking & Finance Review, memberikan anugerah bank asing yang paling pesat membangun bagi Brunei 2016.

Anugerah itu merupakan kali kedua diterima oleh Maybank Brunei setelah ia pertama kali menerimanya pada 2015 dan menurut Ketua Cawangan dan Pengurus Besar Operasi Brunei Maybank, Lim Yu Kwang, ia menunjukkan kepercayaan daripada para pelanggan di Brunei me-ngenai kestabilan dan mutu perkhidmatan bank berkenaan.

Dalam temu bual bersama Media Permata di cawangan Maybank Brunei, Kiarong, hari ini, Lim berkata, anugerah tersebut bukan mudah diperoleh dan kejayaan Maybank Brunei buat kali kedua berturut-turut diberikan anugerah itu menunjukkan bahawa perancangan yang dilaksanakan oleh bank berkenaan membuahkan hasil dan ia telah membawa kepada perkembangan yang positif bagi bank itu di pasaran Brunei.

Dari kiri: Leong Cheng Thai, Lim Yu Kwang, Bobby Sia dan Woo Chang Huei bergambar ramai dengan anugerah yang diterima oleh Maybank Brunei.
Dari kiri: Leong Cheng Thai, Lim Yu Kwang, Bobby Sia dan Woo Chang Huei bergambar ramai dengan anugerah yang diterima oleh Maybank Brunei.

Turut hadir sama dalam sesi temu bual itu ialah Ketua Perbankan Perniagaan dan Perbankan Transaksi, Maybank Brunei, Bobby Sia; Ketua Jualan Pengguna Maybank Brunei, Leong Cheng Thai dan Pengurus Produk dan Strategi Pemasaran Maybank Brunei, Woo Chang Huei.

Beliau turut mendedahkan bahawa Maybank Brunei juga menunjukkan pertumbuhan peratusan dua angka bagi dua tahun berturut-turut dan jumlah pelanggan iaitu dari segi jumlah pelanggan perbankan runcit dan perbankan korporat turut menunjukkan pertumbuhan yang positif.

Perkembangan positif dan keberadaan jenama Maybank yang semakin menyerlah di persada perbankan Brunei memberikan dorongan, ulas Lim supaya pihak pengurusan Maybank Brunei untuk merangka pelbagai strategi untuk mengembangkan lagi dan meningkatkan mutu perkhidmatan mereka.

“Jika dilihat dari segi produk perbankan yang kami tawarkan, ia adalah setanding dengan bank-bank lain yang ada tetapi satu perkara yang kami boleh terus tingkatkan dan terus perkukuhkan adalah hubungan kami dengan pelanggan kami iaitu untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada mereka dan masyarakat.”

Mengulas mengenai dengan rancangan perkembangan bagi Maybank Brunei, Lim berkata bahawa strategi yang ketara bagi mereka adalah untuk terus memastikan mutu perkhidmatan dipertingkatkan dan bank berkenaan akan meneroka peluang dalam pelbagai segmen perbankan serta pasaran baru untuk diteroka termasuk meningkatkan keberadaan mereka di daerah-daerah lain di Brunei.

Menerangkan lanjut mengenai perancangan itu, Lim berkata perkembangan ke pasaran seperti daerah-daerah lain bukan bererti untuk membuka cawangan baru sahaja tetapi juga untuk mengembangkan perkhidmatan perbankan atas talian atau e-perbankan dan menawarkan mesin perbankan di lokasi yang strategik.

Lim berkata lagi dalam mengembangkan dan menambah jumlah mesin perbankan mereka itu, pihak Maybank Brunei akan terus memastikan kesesuaiannya dan akan sentiasa membuat semakan untuk memastikan penyediaan perkhidmatan itu adalah diperlukan untuk menggelakkan sebarang pertindihan perkhidmatan.

Menyentuh mengenai dengan sektor perbankan korporat, Lim menyatakan bahawa jumlah pelanggan korporat bank berkenaan terus menunjukkan perkembangan positif dan perkembangan itu adalah amat memberangsangkan jika di lihat dari segi iklim ekonomi global pada masa ini, sektor perbankan korporat bagi bank itu terus berkembang.

Bobby Sia menjelaskan bahawa Maybank Brunei menawarkan pelbagai produk perbankan yang kompetitif kepada pelanggan-pelanggan korporat mereka dan kedudukan Maybank sebagai salah sebuah bank yang mempunyai cawangan di semua negara anggota ASEAN juga memberikannya satu kedudukan yang amat berguna bagi perusahaan tempatan untuk meneroka pasaran luar negara.

Menjawab persoalan mengenai rancangan Maybank Brunei untuk meningkatkan profil di pasaran perbankan Brunei, Lim berkata tumpuan akan diberikan kepada dua bidang iaitu untuk menawarkan pelbagai produk baru yang memenuhi keperluan pelanggan mereka dan untuk meneroka segmen pasaran yang baru.

Di samping itu, beliau juga percaya dari segi jumlah kakitangan, bank itu juga telah berkembang daripada mempunyai seramai kira-kira 50 orang kakitangan pada dua tahun lalu, kini telah meningkat kepada seramai 61 orang dan percaya jumlah itu akan meningkat lagi pada masa akan datang memandangkan jumlah pelanggan dan perkhidmatan yang ditawarkan juga akan meningkat.

ARTIKEL YANG SAMA