Maybank IB unjur pencairan 2.1 peratus

Maybank IB unjur pencairan 2.1 peratus

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) – Maybank Investment Bank mengunjurkan pencairan 2.1 peratus pendapatan dividen interim sesaham (DPS) Malayan Banking Bhd (Maybank) bagi tahun kewangan 2015, menjadikan pencairan keseluruhan tahun tersebut kepada kira-kira empat peratus, selaras dengan purata sejarahnya.

Ia menjelaskan bahawa Maybank telah menetapkan Harga Pelaburan Semula (DRP) dividen ke-11 pada RM7.50 sesaham, atau diskaun 9.5 peratus kepada jumlah harga pasaran purata wajaran tanpa dividen pada RM8.29.

“Tarikh bagi DRP ditetapkan pada 8 Oktober dan tarikh hak pada 12 Oktober.

“Sebelum ini, kumpulan itu mengisytiharkan DPS interim pada 24 sen bagi separuh pertama 2015, yang merupakan nisbah pembayaran sebanyak 69.7 peratus. DPS interim ini membabitkan bayaran tunai sebanyak empat sen dan bahagian pilihan sebanyak 20 sen,” kata firma penyelidikan itu dalam satu kenyataan.

Maybank Investment Bank berkata diskaun sebanyak 9.5 peratus itu dibandingkan dengan diskaun purata 5.3 peratus dalam tempoh lima DRP lepas, dan merupakan yang ketiga terbesar sejak Maybank memulakan program DRP.

“Dengan kadar pelaburan semula sebanyak 85 peratus, nisbah satu peringkat ekuiti teras sepenuhnya kumpulan itu berjumlah kira-kira 10.96 peratus selepas DRP, dan 9.93 peratus di peringkat bank.

Secara berasingan, pegangan saham asing Maybank berjumlah 19.33 peratus pada 18 September 2015, susut 3.2 peratus setakat ini tahun ini,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA