Maybank kukuhkan perbankan dalam talian

Maybank kukuhkan perbankan dalam talian

KUALA LUMPUR, 16 Feb – Maybank Bhd merancang mengukuhkan lagi kepemimpinannya dalam perbankan dalam talian dengan pengenalan beberapa perkhidmatan baharu dalam Maybank2u (M2u).

Bank berkenaan yang kini menguasai 64 peratus transaksi perbankan Internet dan 76 peratus volum transaksi perbankan mudah alih di negara ini, telah memperkenal beberapa perkhidmatan baharu untuk meningkatkan lagi penguasaannya di ruang perbankan digital.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk Hamirullah Boorhan berkata, pengenalan perkhidmatan baharu terbabit dalam M2u adalah sebahagian daripada komitmen berterusan institusi kewangan itu bagi menambah nilai kepada tawaran perbankan dalam taliannya.

“Perbankan dalam talian telah menjadi satu trend dan M2u kini mencatat transaksi bernilai RM174 bilion setahun dengan volum transaksi berkembang kira-kira 30 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Perkhidmatan baharu itu adalah pembukaan akaun semasa masa nyata serta keputusan segera untuk kad kredit, penyampaian bil dalam mudah alih, ‘QuickTouch’ untuk peranti Android dan laman perbankan transaksi dalam Bahasa Malaysia.

Perkhidmatan baharu terlibat juga akan meningkatkan kemudahan pelanggan dan dalam kes pembukaan akaun serta permohonan kad, ia akan mengurangkan masa diperlukan pelanggan, selalunya di cawangan untuk butiran mereka direkod dan akaun diproses.

Untuk pembukaan akaun, pelanggan berpotensi hanya perlu memasukkan butiran mereka melalui M2u dan menghantar dalam talian untuk diproses terus oleh bank.

Hamirullah juga berkata, bank itu merancang memperkenal lebih banyak perkhidmatan dalam talian untuk mempermudahkan lagi perbankan di samping meningkatkan kecekapan operasi. – Bernama