Maybank menang anugerah emas Jenama Putra kali ke-7

Maybank menang anugerah emas Jenama Putra kali ke-7

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Maybank meraih anugerah emas bagi kategori perbankan, pelaburan dan insurans buat kali ketujuh berturut-turut pada Anugerah Jenama Putra 2016 yang berlangsung baru-baru ini.

Anugerah Jenama Putra merupakan pengiktirafan jenama tertinggi di Malaysia, mengiktiraf jenama pilihan dan dipercayai dalam kalangan rakyat Malaysia, yang diperoleh menerusi soal selidik pelanggan.

“Lebih 6,000 responden memilih jenama kegemaran masing-masing, yang meliputi 24 kategori, di sepanjang soal selidik dijalankan di seluruh negara,” kata Maybank dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Michael Foong berkata anugerah itu mengukuhkan lagi usaha berterusan Maybank dalam menyediakan pengalaman jenama yang konsisten dan dekat di hati pelanggan.

Foong berkata Maybank akan terus memberi tumpuan bagi mengukuhkan pengalaman jenama, terutama dalam menyediakan pelanggan dengan akses kepada produk dan perkhidmatan terbaik di seluruh dunia.

Ditubuhkan pada 2010, Anugerah Jenama Putra merupakan anugerah jenama terulung di Malaysia dan merupakan satu-satunya anugerah jenama oleh, dan/untuk pengurus serta pemilik jenama.

Anugerah Jenama Putra disahkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia dan disokong oleh Persatuan Penjenamaan Malaysia, Persatuan Pengiklan Malaysia dan Persatuan Pakar Media. – Bernama