Maybank M’sia dalam forbes global 2000

Maybank M’sia dalam forbes global 2000

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Kumpulan perkhidmatan kewangan terbesar Malaysia, Maybank yang memiliki aset bernilai US$165 bilion, berjaya menduduki tempat ke-362 daripada 500 syarikat awam terbesar dalam Senarai Tahunan Forbes Global 2000 untuk tahun ini.

Senarai itu turut memaparkan kejayaan Maybank memperbaiki kedudukannya dengan melonjak 11 tempat berbanding kedudukan ke-371, pada tahun lepas.

Syarikat Malaysia lain yang turut tersenarai dalam kelompok 500 syarikat itu adalah Tenaga Nasional Berhad di tempat ke-464.

Sejumlah 15 syarikat Malaysia tersenarai dalam senarai 2,000 syarikat awam terbesar itu termasuk Public Bank (di tempat ke-581), CIMB Group Holdings (668), Sime Darby (813), Axiata Group (1,028), Genting Bhd (1,246), Petronas Chemicals (1,293) dan MISC di 1,344.

RHB Capital pula berada di tempat ke-1,398 senarai itu diikuti Hong Leong Financial (1,431), Petronas Gas (1,487), AmBank Group (1,535), Maxis (1,546) dan IHH Healthcare di tangga ke-1,938.

Menurut Forbes, kaedah penyenaraian bagi senarai 2000 Global itu adalah dengan menggunakan data sistem FactSet Research bagi menyaring syarikat awam terbesar mengikut empat metrik iaitu jualan, keuntungan, aset serta nilai pasaran.

Malah, aspek nilai pasaran itu dikira berdasarkan harga penutup setakat 22 April, 2016 dan termasuk kesemua saham biasa.

Dalam pada itu, Industrial and Commercial Bank of China, China Construction Bank dan Agricultural Bank of China menguasai kedudukan tiga senarai teratas Forbes Global 2000 yang juga kedudukan tahunan syarikat awam terbesar dunia. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA