Maybank New York anjur ‘Maybankers’

Maybank New York anjur ‘Maybankers’

NEW YORK, 3 Okt – Membangunkan kumpulan modal insan terlatih bagi memenuhi cabaran dalam bidang kepakaran tertentu serta menambah baik perniagaan, wajar menjadi objektif sesebuah organisasi yang mahu berjaya dalam perniagaannya.

Inilah yang dilakukan oleh Malayan Banking Berhad (Maybank), bank utama Malaysia.

Strategi ini dilaksanakan di cawangan Maybank New York, dengan sekumpulan sembilan penuntut Malaysia yang diketuai Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan Maybank Nora A. Manaf, berhimpun pada Jumaat ‘untuk mendengar dan didengari’.

Dalam perbincangan antara Nora dan penuntut terbabit, kedua-dua pihak memahami kehendak masing-masing: apa yang dikehendaki oleh bank dan mengapa mereka perlu meneruskan minat dalam bidang yang mereka pilih, malah idea dan tanggapan mereka untuk menyumbang kepada kejayaan bank secara menyeluruh.

Pertemuan itu berjaya seperti yang disuarakan oleh seorang penuntut – satu perbincangan yang sangat sihat dan memberi manfaat bersama’.

Sembilan penuntut berkenaan, yang merupakan calon terbaik di Malaysia, kini mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang di institusi pengajian di Amerika Syarikat dengan pembiayaan Maybank.

Mereka akan diambil sebagai pekerja sepenuh masa selepas tamat pengajian, tertakluk kepada kesesuaian.

“Kami memilih 50 yang terbaik daripada kira-kira 10,000 permohonan untuk menerima biasiswa Maybank,” kata Nora dalam tembu bual dengan Bernama di sini.

Nora berkata walaupun tumpuan utama program itu untuk membangunkan pasukan modal insan khususnya di Malaysia, bank itu juga membantu calon terbaik dari ASEAN.

“Semua orang kini melihat komuniti ASEAN sebagai pusat kewangan akan datang. Oleh itu, perlu ada pihak yang memainkan peranan sebagai peneraju.

Berikutan anjakan paradigma global ke Asia Pasifik, tindakan perlu dilaksanakan sekarang.

“Kami cuba mewujudkan warga global di Maybank. Sudah pasti kami juga boleh belajar dari Amerika Syarikat, sebagai contoh, dalam perkhidmatan pelanggan. Namun kualiti paling penting yang kami ingin lihat dalam kalangan warga Maybank ialah integriti mutlak.

Ini juga penting untuk imej domestik (Malaysia) dan antarabangsa kami. Kami mempunyai operasi di 20 negara,” katanya.

Selain mengekalkan kehadiran yang kukuh di 10 negara anggota ASEAN, Maybank mempunyai cawangan di Amerika Syarikat, United Kingdom, Asia Utara dan India.

“Kami juga akan membuka pusat IT di Bangalore, India yang sepatutnya beroperasi menjelang tahun akhir tahun,” katanya.

Menurut Nora Maybank bukan sahaja berperanan untuk membuat wang. Ia mempunyai tanggungjawab sosial yang padu dan mahu ‘menginsankan’ pengurusannya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA