Maybank, Politeknik lancar kempen kutip dana

Maybank, Politeknik lancar kempen kutip dana

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Ogos – Bersempena dengan Hari Tanggungjawab Korporat (CSR) Maybank Global, Politeknik Brunei hari ini telah melancarkan kempen pengutipan dana bagi ‘Recycle Reuse Reach-Out with SMARTER Brunei’ di Ibu Pejabat Maybank, Kiarong.

Hadir pada majlis itu ialah Ketua Operasi dan Sumber-sumber Maybank, Lim Su Hui; Ketua Pentadbiran Kredit dan Pengurusan Aset Maybank, Dapong Anak Santok; Pengurus Strategi Produk dan Pemasaran Maybank, Woo Chang Huei, Ketua Negara dan Pengurus Besar Maybank, Lim Yu Kwang; Pemangku Ketua Pusat Pembangunan Inovasi Pelajar (CSDI), Politeknik Brunei, Awang Johari bin Haji Abdul Latif dan Pembantu Ketua Pusat CSDI, Haji Ehwan bin Haji Juned.

Projek ini merupakan inisiatif bagi projek kerjasama di antara CSDI Politeknik Brunei dan Maybank Brunei Berhad (Maybank) bagi aktiviti-aktiviti Hari CSR Maybank Global.

Ini merupakan kali kedua Maybank menjemput Politeknik Brunei untuk menganjurkan bersama dan bekerjasama dalam acara Hari CSR Maybank Global, Maybank juga telah menyokong program komuniti CSDI, Program Pelajar Politeknik Penyayang atau 3P sejak Julai 2015.

Dengan pelancaran berkenaan, bermula hari ini, kempen berkenaan akan mengumpulkan sumbangan barangan kitar semula untuk digunakan semula dan dijual yang mana hasilnya nanti akan disumbangkan kepada SMARTER Brunei.

Pegawai-pegawai Maybank dan Politeknik Brunei bergambar ramai pada pelancaran itu.
Pegawai-pegawai Maybank dan Politeknik Brunei bergambar ramai pada pelancaran itu.

Kempen berkenaan akan dijalankan serentak oleh Maybank Brunei dan Politeknik Brunei sehingga 18 Ogos 2016.

Barangan sumbangan berkenaan akan dikumpulkan dan diasing-asingkan kemudian dijual pada acara jualan garaj Maybank pada 20 dan 21 Ogos di tempat letak kereta, Jalan Bendahara, di sini.

Antara barangan yang boleh disumbangkan termasuk botol plastik kosong yang akan diubah semula menjadi tempat menyimpan biskut oleh pelajar-pelajar SMARTER, pakaian, peralatan elektrik, perabot rumah, dan mainan yang boleh digunakan semula atau diubahsuai, atau yang boleh dijual semula semasa jualan garaj berkenaan dan di kedai-kedai SMARTER.

Tema bagi Projek Hari CSR Maybank Global tahun ini adalah ‘Pulihara. Lindungi. Kekalkan – Melindungi alam sekitar bagi kehidupan mapan’, dan acara kemuncaknya serta penyerahan barangan sumbangan akan diadakan pada 20 Ogos depan.

Acara berkenaan antara lain berobjektif untuk menggalakkan pemuliharaannya menerusi penggunaan semula produk-produk dan barangan tidak digunakan, memupuk kreativiti dan kepintaran belia menerusi pertandingan kitar semula, dan membantu merealisasikan hasrat untuk menjadikan Bandar Seri Begawan sebagai bandar hijau.

ARTIKEL YANG SAMA