Maybank terbit Program CP AS$500 juta

Maybank terbit Program CP AS$500 juta

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) – Malayan Banking Bhd (Maybank) menerbitkan Program Kertas Komersial (Program CP) AS bernilai AS$500 juta (AS$1=RM4.28).

Maybank dalam satu kenyataan hari ini berkata, di bawah Program CP itu, cawangan Maybank New York boleh menerbitkan dari masa ke semasa, nota sehingga jumlah agregat maksimum tertunggak pada bila-bila masa dalam nilai nominal AS$500 juta.

“Program CP disokong sepenuhnya oleh surat kredit bayar terus AS$500 juta yang dikeluarkan oleh Wells Fargo Bank, N.A. pada 2 Nov, 2015, dan diberikan penarafan ‘Prime-1’ oleh Moody’s Investors Services Inc dan ‘A-1+’ oleh Standard & Poor’s Ratings Services,” kata bank itu.

Maybank berkata program itu disusun oleh Maybank Kim Eng Securities Pte Ltd dan peniaga bersama nota itu ialah Wells Fargo Securities, LLC dan Citigroup Global Markets Inc.

Maybank Investment Bank Bhd ialah Penasihat Utama bagi Program CP itu.

Bendahari Korporat Kumpulan, Odie Lee berkata, program itu akan membolehkan kumpulan tersebut mempelbagaikan lagi sumber pembiayaan jangka pendeknya.

Maybank ialah kumpulan perbankan keempat terbesar di ASEAN dari segi jumlah aset, jumlah pinjaman dan jumlah deposit berasaskan kepada penyata kewangan yang dikeluarkan dalam tahun kewangannya yang berakhir pada 31 Disember 2014.