Maybank tumpu perbankan transaksi, pinjaman korporat di Myanmar

Maybank tumpu perbankan transaksi, pinjaman korporat di Myanmar

pg19_151006_b

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) – Operasi Malayan Banking Bhd (Maybank) di Myanmar yang dilancarkan hari ini, akan menumpukan kepada perbankan transaksi, pinjaman korporat dan perkhidmatan perbendaharaan dalam usaha menjadi bank rentas sempadan peneraju di negara itu.

Dalam satu kenyataan Isnin, bank itu berkata cawangan di Yangon yang mempunyai modal berdaftar AS$75 juta (AS$1=RM4.40) dirasmikan secara bersama oleh Timbalan Gabenor Bank Negara Myanmar, U Set Aung dan rakan sejawatan dari Malaysia Datuk Muhammad Ibrahim.

Turut hadir Pengerusi Maybank Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor, dan Ketua Pegawai Esekutif Maybank International, Pollie Sim Sio Hoong.

Megat Zaharuddin berkata Maybank bertapak di Myanmar sejak lebih 20 tahun lalu dan mempunyai jaringan luas di semua 10 negara ASEAN. Katanya pelancaran Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) hujung tahun ini akan mengubah landskap ekonomi Asia dan akan membawa peluang yang banyak di seluruh rantau.

“Seperti mana AEC, kedudukan Myanmar di tengah-tengah Asia, disokong oleh kekayaan sumber asli serta sumber manusia yang bertambah, mewujudkan potensi pertumbuhan yang tidak pernah berlaku sebelum ini bagi mempercepat pembangunan,” katanya. Sementara itu, Sim berkata Maybank berada pada kedudukan unik untuk menawarkan penyelesaian perbankan rentas sempadan.

“Tumpuan kami ialah menyokong pelanggan borong dan korporat serta bank-bank tempatan di Myanmar dengan perkhidmatan seperti akaun deposit, pembiayaan modal kerja, perbankan transaksi, pengurusan tunai, serta penyelesaian perbendaharaan dan pasaran modal,” katanya.

Beliau berkata Maybank akan memanfaatkan kepakarannya dalam membiayai sektor tenaga, utiliti serta minyak dan gas selain telekomunikasi yang turut merupakan bidang pertumbuhan diutamakan bagi Myanmar.

ARTIKEL YANG SAMA