Maybank umum tambah cawangan

Maybank umum tambah cawangan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Malayan Banking Berhad (Maybank) bertekad untuk mengisi ruang pasaran tempatan yang wujud akibat penguncupan operasi beberapa bank antarabangsa di negara ini, dengan memperkenalkan beberapa produk baru perbankan dagang dan runcitnya.

Walaupun banyak peluang yang dapat dieksploitasi daripada ruang pasaran itu, cabarannya ialah merumuskan cara pengurusan terbaik supaya Maybank dapat mengoptimumkan ‘kekosongan’ pasaran yang ditinggalkan bank terdahulu.

Pandangan itu disuarakan oleh Ketua Pegawai Risiko Antarabangsa, Maybank yang berpangkalan di Singapura, Michael Theng ketika ditemui pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Maybank 2016, hari ini yang diadakan di Hotel Radisson di ibu negara.

Hadir pada majlis itu ialah Pengurus Am dan Ketua Maybank Berhad Negara Brunei Darussalam, Lim Yu Kwang dan Ketua Pegawai Eksekutif Antarabangsa, Maybank Berhad yang berpangkalan di Singapura, Pollle Sim.

Hadir sama kira-kira 500 tetamu yang terdiri daripada pegawai kanan kerajaan, tokoh korporat serta duta dan perwakilan negara asing di Negara Brunei Darussalam, termasuk Duta Besar Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Craig Allen.

Lim Yu Kwang dan TYT Craig Allen bergambar ramai dengan tetamu lainnya.
Lim Yu Kwang dan TYT Craig Allen bergambar ramai dengan tetamu lainnya.
Acara kemuncak menggaul Yee Sang, hidangan simbolik perayaan Tahun Baru Cina.
Acara kemuncak menggaul Yee Sang, hidangan simbolik perayaan Tahun Baru Cina.

“Kita perlu memahami punca-punca mengapa bank-bank lain menarik diri daripada pasaran, dan khusus bagi Brunei, kita juga harus mengetahui di mana wujudnya peluang-peluang tersebut untuk kita rebut,” ujarnya.

Ketika ditanya lebih lanjut mengenai cabaran sektor perbankan serantau dan tempatan, Theng menjelaskan antara risiko dan cabaran sektor perbankan yang dihadapi di peringkat serantau pada masa ini ialah ketidakstabilan ekonomi global dan strategi industri perbankan meneroka peluang baru yang diwujudkan oleh pembentukan Komuniti ASEAN yang diumumkan pada awal tahun ini.

Sebagai usaha menunjukkan keseriusan Maybank meningkatkan imej untuk meraih kepercayaan pelanggan dan pasaran tempatan lebih luas, Theng memaklumkan bahawa bank tersebut akan membuka beberapa cawangan di negara ini dan menambah beberapa produk terbaru dalam pasaran tempatan.

Ujarnya lagi, Maybank juga akan menyelaraskan semula khidmat-khidmat perbankan yang ditawarkan oleh perbankan dagang dan perbankan runcit supaya lebih cekap dan kompetitif.

Kemuncak acara Sambutan Tahun Baru Cina Maybank 2016 ialah upacara menikmati hidangan simbolik perayaan Tahun Baru Cina, Yee Sang, oleh Lim Yu Kwang dan Pollie Sim bersama para jemputan kenamaan lain.

ARTIKEL YANG SAMA