Mayweather gagal tambat hati peminat

Mayweather gagal tambat hati peminat

LAS VEGAS, 5 Mei (AFP) – Floyd Mayweather mengotakan janjinya bahawa dia tidak akan kalah, namun ada satu hadiah yang nampaknya gagal dimenanginya iaitu hati peminat.

Mayweather mengekalkan rekod cemerlangnya di gelanggang serta reputasinya selaku petinju handalan selepas menewaskan lawannya dari Filipina, Manny Pacquiao dalam pertarungan 12 pusingan di MGM Arena kelmarin. Bagaimanapun selepas memenangi ‘Pertarungan Abad Ini’, juara berusia 38 tahun itu gagal menambat hati peminat sukan tinju seperti yang dilakukan oleh Muhammad Ali, Sugar Ray Robinson serta Sugar Ray Leonard meskipun mempunyai skil yang tidak boleh disangkal kehebatannya.

“Karier sepanjang 19 tahun dengan tiada kesan lebam pada tubuh dan (dapat) duit,” katanya ketika mengulas ciri-ciri kehebatan mengikut definisinya.

Ramai yang mengkritik gaya Mayweather memenangi pertarungan termahal dalam sejarah itu apabila legenda Oscar de la Hoya yang pernah bertarung dengan kedua-dua petinju tersebut menulis di Twitter:

“Maaf peminat sukan tinju. Mungkin saya kolot tetapi saya lebih suka peminat dapat menonton perlawanan penuh aksi yang berbaloi dengan wang yang dikeluarkan.”

Bekas juara Ireland, Barry McGuigan senada dengan Oscar apabila menulis di Twitter: “Membosankan, berat sebelah.”

Dalam pada itu, bekas juara heavyweight Mike Tyson memilih Pacquiao sebagai pemenang perlawanan itu apabila berkata kepada Sky Sports: “Sepatutnya dia (pemenang). Dia bertinju seperti kebiasaan. Sekarang ini adalah masa untuknya (Pacquiao).”

Namun masih ada yang memuji aksi Mayweather. Bekas petinju Britain, Lennox Lewis berkata di Twitter: “Jika anda tidak dapat menangkapnya anda tidak boleh menumbuknya #Maypac pertarungan yang cukup mantap.”